Wednesday, December 12, 2007

IBADAT MENDIDIK KEPERIBADIAN MUSLIM

1. PENGENALAN

1.1 Konsep Ibadah

Terdapat dua tujuan utama manusia dicipta oleh Allah S.W.T pertama tidak lain melainkan semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT sepenuh jiwa raga. Firman Allah Ta’ala:
Maksud ayat : “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

Kedua sebagai pemegang amanah Allah S.W.T mentadbir dan mengurus alam ini mengikut kehendak Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T lagi dalam surah Al-Baqarah :

Ertinya : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

Berasaskan kepada dua tujuan utama tersebut manusia membiak di atas nuka bumi dan di utus rasul-rasul a.s bagi memberi peringatan tentang kedua-dua perkara tersebut. Jika kita menghayati ikrar yang kita ucapkan setiap kali kita berdiri menyembah Allah iaitu “ إن صلاتى ونسكى ومحيى ومماتى لله رب العالمين sesungguhnya solatku, amal ibadahku, ( urusan ) hidupku dan matiku (semuanya) semata-mata kerana (Allah) tuhan sekelian alam.”, nescaya kita akan mendapati konsep atau skop ibadah sangat luas untuk diperkatakan. Ini bermaksud setiap gerak laku dan aktiviti-aktiviti yang kita lakukan di atas nuka bumi inipun dikira ibadah
Ibadah dalam Islam mempunyai pertalian terus menerus antara hamba dengan Allah S.W.T tanpa perantaraan sama ada orang biasa maupun golongan ulamak. Bagi mencapai matlamat ta’abbud ila Allah ianya tidak memerlukan kepada tempat-tempat tertentu atau wasilah sebagaimana terdapat di setengah-setengah agama lain.[1]
Berdasarkan kepada kedua-dua tujuan tersebut. Islam meletakkan beberapa konsep sebagai frame kepada ummatnya supaya tujuan hidup mereka tidak menyimpang daripada tujuan sebenar mengapa manusia itu dicipta. Di bawah ini diperturunkan beberapa konsep Ibadah dalam Islam yang wajar kita menghayatinya.[2]

a. Merupakan pengabdian yang dilakukan dengan cara tunduk dan merendah diri, dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah menurut cara-cara yang ditentukan oleh syara’.
b. Ibadah membentuk perhubungan yang terus antara hamba dengan Allah SWT.
c. Ia tidak memerlukan perantaraan atau wasilah.
d. Tanda bersyukur di atas nikmat Allah kepada hamba.
e. Ibadah mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas dan khusyu’.[3]

Melihat kepada beberapa konsep ibadah di atas, kita akan mendapati ibadah mempunyai pengertian yang luas dan bersepadu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Apakah maksud ibadah yang sebenarnya.


1.2. Pengertian Ibadah

Jka kita meneliti pengertian ibadah menurut al-Quran, kita akan mendapati ianya dgambarkan dalam dua bentuk.[4] Pertama, kepatuhan dan tunduk makhluk-makhluk yang tidak berakal secara tabi’e kepada ketentuan hukum Tuhan yang telah disediakan untuknya. Ianya dikenali sebagai Sunnatullah. Firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Ra’dhu, ayat 15 :

سورة الرعد : 15

Maksud ayat :” Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.

Ini bermaksud semua penciptaan Allah seperti matahari, bulan, bintang-bintang, angin, api, air, gunung-ganang, bukit-bukau, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya akan tunduk patuh kepada ketentuan Allah S.W.T. Matahari, bulan bintang-bintang dan planet-planet bergerak mengikut orbit masing-masing. Begitu juga haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan bahan-bahan serta sumber galian yang terdapat di dalam perut bumi tidak terlepas daripada hukum sunnahtullah.

Kedua kepatuhan oleh manusia dan jin kepada Allah SWT[5] yang Maha esa. Firman Allah dalam surah Az-Zaariah, ayat 56 :
Maksud ayat : “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.

Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa tujuan utama manusia dan jin dicipta adalah semata-mata untuk menyembah Allah SWT. Seterusnya Allah mengingatkan kepada kita lagi bahawa hanya kepada-Nya sahaja yang mesti kita perhambakan diri, melakukan ketaatan dan pengorbanan seluruh jiwa dan raga kita. Firman Allah SWT :
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
Keta’atan dan pengorbanan kerana Allah SWT berasaskan kepada kefahaman dan keikhlasan hati semata-mata kerana Allah SWT. Inilah maksud ibadah Sebenar. Jesteru segala aktiviti sama ada yang berkaitan soal agama maupun urusan keduniaan hendaklah dilaksanakan sebagai tanda keikhlasan kita kepada Allah Swt. Setiap kali kita mendirikan solat, kita akan membaca doa iftitah ;
إن الصلا تى، نسكى ، محياي ومماتي لله ربالعالمين
Inilah pengakuan seorang hamba kepada tuannya. Hasil daripada pengabdian ini akan melahirkan seorang insan yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia, luhur, sentiasa beramal soleh dan sentiasa bertaubat jika melakukan kesalahan kepada Allah SWT.

Berdasarkan kepada pengertian ibadah tersebut dapat difahami bahawa terdapat dua bentuk ibadah yang menjadi syariat kepada umat Islam. Iaitu ibadah umum dan ibadah khusus.


2. PEMBAHAGIAN IBADAT.

Ibadah nerupakan pokok kepada benih iman yang berkembang dalam jiwa seseorang muslim. Ianya dizahirkan melalui pengamalan anggota zahir manusia. Ianya terbahagi kepada dua jenis. Iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.

2.1. Ibadah Khusus.

Ibadah khusus merupakan ibadah asas atau ibadah induk[6] kepada konsep Ubudiyyah makhluk[7] kepada khaliqnya. Dalam mazhab Syafie[8] ibadah khusus dikenali sebagai Fardhu Ain. Fardhu Ain ialah suatu tuntutan yang wajib ke atas setiap individu mukallaf dengan tuntutan secara putus( jazim)[9]. Contohnya, Seperti solat-solat fardhu, puasa dibulan Ramadhan, zakat dan haji. Ibadah-ibadah ini wajib ainni dan mesti dilaksanakan oleh setiap individu yang akal baligh serta sudah ditaklifkan dengan bebanan perlaksanaan hukum-hukum syariat yang lima.[10]

Maksudnya manusia wajib tunduk dan patuh kepada hukum-hukum yang ditentukan oleh syariat Islam, yang berada dalam kategori Fardhu Ain secara ilmu dan amal.[11] Kefardhuan tersebut tenkandung dalam rukum Islam yang lima. Anataranya termasuklah mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, berzakat, dan mengerjakan haj ibagi yang berkemampuan.

Kefardhuan rukun-rukun Islam yang lima telah dimetrai oleh Allah SWT dalam ayat-ayat suci Al-Quran dan ketetapan ini berkekalan sehingga hari kiamat. Terdapat banyak dalil nakli yang berkaitan dengan kewajipan melaksanakan rukun Islam yang lima.
a. Pertama kewajipan solat.

Allah SWT merakamkan kewajipan mengerjakan solat lima waktu dalam surah al-Lukman, ayat 17 yang berbunyi
Yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

b. Manakala kewajipan berpuasa pula terdapat dalam surah Al-Baqarah
ayat 183 :

Maksud ayat :” Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Dan diperkuatkan lagi dengan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 185 :
Maksud ayat :”………. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu”

c. Antara ayat-ayat yang berkaitan dengan kefardhuan haji seperti berikut :
Firman Allah SWT yang berbunyi :
Maksud ayat :” Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.“
Ibadah khusus tersebut tidak hanya terhad kepada ibadah-ibadah wajib sahaja bahkan ibadah-ibadah sunat ternasuk fadhail Amal juga termasuk dalam jenis ibadah khusus. Diantara amal ibadat sunat termasuklah solat-solat sunat yang mengiringi solat-solat fardhu, solat-solat sunat lain, puasa-puasa sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya. Adakalanya ibadah-ibadah tersebut tidak dinyatakan secara khusus dalam Al-Quran tetapi difahami melalui penjelasan hadis-hadis Nabi SAW .
Ibadah khusus adalah ibadah yang ditentukan kaedah perlaksanaannya, rukun, perkara wajib, sunat serta larangan-larangan tertentu dengan tujuan membina batin (kerohanian) manusia agar ianya sentiasa berhubungan dengan Allah SWT[12]. Ibadah-ibadah khusus juga sebagai kekuatan dan benteng kerohanian yang ampuh supaya kita dapat mengharungi cabaran duniawi dan halangan-halangan dalam peribadatan kita kepada Allah.


2.2. Ibadah Umum.

Ibadah umum lebih bersifat literal atau muamalah sesama makhluk. Skop bidang ibadah umum agak luas, merangkumi segala keperluan hidup dan segala aktiviti yang bersifat duniawi. Ibadat umum juga dikenali sebagai fardhu kifayah iaitu suatu tuntutan ke atas sekumpulan orang Islam, bukan keatas setiap individu. Apabila sebahagian daripad mereka melakukan tuntutan tersebut, maka ianya sudah memada dan dosa orang lain akan gugur. Tetapi semuanya dianggap menderhaka jika tidak ada seorangpun yang menunaikannya. Antara Fardhu kifayah termasuklah soal-soal siasah politik (pentadbiran), muamalat, munakahat, Qanuniyyah, jihad, ilmu pendidikan, dan sebagainya dan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Ibadah umum konsepnya sama seperti konsep ibadah khusus. Ini kerana seluruh pelakuan dan gerak-geri Manusia muslim akan diambil kira agar ianya tidak terkeluar dari penilaian hokum yang lima.[13] Iaitu hokum wajib, sunat, makruh, dan harus. Bahkan niat di dalam hati untuk melakukan kebajikan juga akan diberi ganjaran oleh Allah SWT sekalipun individu muslim itu belum melakukannya lagi.

Untuk menentukan nilai pelakuan seseorang individu muslim itu sebagai ibadah atau tidak, islam menggunakan alat pengukur yang begitu seni dan halus. Iaitu hati manusia. Sabda Nabi SAW ;
إنماالأعمل بالنيات وإنما لكل إمرئ ما نوا،( أو كما فال)
Maksud hadis ;” Sesugguhnya segala amalan itu adalah (dimulai) dengan niat. (dan) setiap orang mendapat pahala berdasarkan apa yang dia niatkan…”

Berasaskan kepada hadis di atas para ulamak fiqh bersependapat bahawa setiap amalan yangdikalukan oleh mukmin yang mukallaf tidak dilkira dari sudut syarak dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.[14]

Jika individu muslim benar-benar melaksanakan ibadah tersebut dengan hati yang ikhlas semata-mata untuk mendapat redha Allah SWT, individu muslim tersebut akan mendapat dua keuntungan. Pertama keuntungan dunia. Kejayaan yang dikecapi keselesaan ketenangan jiwa dan keuntungan kedua ialah jaminan keselamatan di hari yang tiada tempat perlindungan kecuali perlindungnan Allah SWT. Dan akhirnya dia akan menikmati ganjaran syurga yang kekal abadi. Sebuah doa yang rasullullah ajarkan kepada kita : "ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الأخرة حسنة وقنا عذاب النار"



3.0. PENDIDIKAN DALAM IBADAT

Berasaskan kepada pengertian ibadat dan pembahagiannya, satu penilaian yang penting dalam kehidupan individu muslim ialah ibadah membentuk keperibadian muslim yang sejati, mampan, dinamik, punyai syahsiah yang luhur, digeruni oleh kawan dan lawan. Inilah kesan pendidikan pengamalan ibadah di dalam kehidupan individu muslim.


3.1. Ketaatan dan kepatuhan kepada tuntutan syarak.

Ibadah mendidik kita supaya sentiasa mematuhi arahan atau peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Solat misalnya mepunyai tatacara dan kaifiyyatnya yang tertentu. Segala Rukun dan syarat hendaklah dipatuhi. Nilai pendidikan yang boleh dilihat dalam pengamalan solat ialah konsep taat dan patuh.

Hasil daripada penghayatan ibadah solat menjadikan Individu muslim seorang yang patuh kepada arahan ketua atau majikan maka tidak berlaku penyelewengan dalam pekerjaannya. Pelajar mematuhi arahan dan peraturan sekolah, isteri taat kepada suami. Maka tidak berlakulah kepincangan rumah tangga. Akhirnya konsep ini akan membentuk satu masyarakat Islam yang harmoni, aman sejahtera.


3.2. Penghayatan Sifat-Sifat Mahmudah

Ketertiban yang menjadi rukun bagi sesuatu pengamalan ibadat akan menjadikan sesuatu ibadat itu kelihatan cantik dan tersusun. Ibadat juga mempunyai nilai adab yang tinggi. Sebagai contoh ibadah membaca al-Quran. Al-Quran tidak boleh dibaca semborono tanpa menjaga adab-adab membaca al-Quran. Antara adab-adab mmbaca al-Quran seperti berwudhuk terlebih dahulu, menutup aurat, mengadap kiblat dan membacanya dengan tartil dan bertajwid serta menghayati isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran. Kesemua adab-adab tersebut seharusnya dijaga dan dipelihara agar sesuatu amalan ibadah itu diterima Allah.
Hal tersebut akan membentuk nilai-nilai atau sifat mahmudah kepada diri pembacanya. Antara sifat-sifat mahmudah yang dapat diterapkan ke dalam diri pembaca khsusunya dan umat Islam amnya ialah berlapang dada, sabar, dan segala sifat-sifat mahmudah akan membentuk ciri-ciri insan muslim yang berakhlak mulia.


3.3. Menuntut ilmu suatu kewajipan.

Firman Allah SWT dalam ayat 1-5, surah al-A’laq :
Maksud ayat : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Banyak hadis-hadis nabi yang berkaitan kefardhuan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW :
طلب العلم فريضة على كل مسلم
Maksud hadis : “ Menuntut ilmu wajib ke atas setiap individu muslim.”
Dan sabda baginda S.A.W. lagi :
طلب العلم من المحدي الى اللحدي
Maksud Hadis: “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”
Hadis tersebut menjelaskan mengenai konsep Pendidikkan sepanjang hayat, ayat al-Quran dan hadis tersebut sebagai dalil bahawa menunut ilmu merupakan satu kewajipan atau dengan kata lain ianya merupakan fardhu kifayah ke atas setiap individu muslim sama ada lelaki maupun perempuan. Melalaui ilmu pengetahuan kita dapat menghasilkan berbagai penemuan baru, membezakan di antara yang hak dan yang batil, mengklasifikasikan sesuatu itu halal atau haram dan sebagainya.

Apa yang penting sekali ialah dengan ilmu pengetahuan kita akan bertambah yakin kepada kewujudan Allah SWT. Kita akan bersungguh-sunguh beramal ibadat atau melakukan sebarang kerja kerana-Nya. Iaitulah konsep Ubudiyyah dalam semua aktiviti harian kita. Ini supaya segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT. Pujangga Arab ada mengatakan :
العلم بلا عمل كالشجر،بلا ثمر
Maksudnya : ilmu jika tidak diamalkan seperti pohon pokok yang tidak berbuah.


3.4 Tanggungjawab Memelihara Amanah Allah.

Allah SWT telah meletak satu bebanan taklifi kepada manusia setelah Allah SWT melantik manusia sebagai khalifah di atas muka bimi ini. Iaitu tanggungjawab atau amanah menjaga dan mengurus sumber alam ini. hal tersebut boleh difahami dari Firman Allah Ta’ala dalam dalam ayat surah Al-Baqarah :
Maksud ayat : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

Penghayatan tentang pengurusan sumber ini dapat dilihat dalam pengamalan ibadah seharian. Ini kerana Allah tidak menyukai orang yang membazir firman Allah :
Maksud ayat :” Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Melalui ibadah, Islam mendidik umatnya mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka dengan mengurus sumber tersebut dengan betul. Contohnya jangan membazir ketika berwuduk, kaedah menyamak najis mughallazah, ini menunjukkan bahawa keperihatinan ajaran Islam terhadap umatnya supaya bersikap berjimat-cermat, belanjawan berhimah, bijak dan sebagainya.


3.5 Taawun wa Tabarru’

Konsep ta’awun dan tabarruq yang terdapat dalam ibadat menngandungi nilai tolong-menolong dan bantu-membantu sesama Islam.
Ertinya:” …….Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)”

Nilai inilah yang Islam cuba terapkan dalam ibadat puasa, solat berjemaah, zakat dan bersedekah. Ibadah zakat umpamanya, jika dilaksanakan secara betul dan adil ianya akan merapatkan jurang di antara golongan kaya dengan golongan miskin. Si miskin tidak iri hati atau cmburu kepada kekayaan si hartawan. Orang kaya tidak merasa sombong dengan kekayaan yang mereka miliki. Masing-masing saling bantu-membantu antara satu sama lain. Inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW ; “Umat Islam seperti satu binaan. Saling kuat menguatkan antara satu sama lain.” Bak kata pepatah melayu cubit peha kanan peha kiri turut terasa sakit.

Dalam sistem muamalah Islam tedapat beberapa Istilah yang cuba diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Syed Naquid Al-Atas, Ngku Aziz. Dan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah B. Ahmad Badwi. Antaranya seperti sistem Pebankan Islam, mata wang Dinar, Ar-Rahnu (sistem pajak gadai ), mahkamah syariah dan Islam Hadhari.

Takaful Nasional contohnya cuba memperkenalkan konsep tersebut dalam perniagaan mereka. Islam menjaga kebajikan umatnya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Gadaian, dan hutang umpamanya merupakan ibadah fiqh yang berbentuk taawun wa tabaaru’. kesinambungan kedua-dua konsep ini dapat membantu golongan yang lemah dan mendekatkan jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin. Jenayah kecurian, rompakan, penculikkan dan bunuh dapat dikurangkan. Akhirnya keamanan dapat diwujudkan. Masayarakat dapat hidup aman damai.

4. PENUTUP


Berasaskan kepada pokok perbnicangan yang panjang lebar di atas, beberapa kesimpulan atau rumusan boleh dibuat. Pertama. Ajaran Islam tidak hanya terbatas kepada pengamalan ibadah khususiyyah Ad-Diniyyah semata-mata. Akan tetapi konsepnya luas mencakupi seluruh kehidupan ummah. Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Imran, ayat 110 :
Maksud ayat :” Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Kedua Dalam sistm pendidikan islam ianya bersifat pendidikan sepanjanng hayat. Manakala doktrin-doktrin pendidikan dalam konsep ibadah adalah tetap, teguh dan mempunyai ukuran nilai yang terlalu seni. Iaitu keikhlasan hati dan kelurusan amal. Jesteru kebenaranya dapat disingkap dengan sabda Rasullullah SAW :
Perlu ditegaskan disini bahawa ibadat yang dikehendaki dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang zahir sahaja, tetapi yang dikehendaki dengan konsep ibadat ialah tujuan, makna serta perlaksanaannya. Oleh itu tidak ada manfaat solat jika masih bergelumang dengan maksiat. Tidak diterima ibadat haji dan zakat jika ianya disertai dengan sifat riak. Ini beerti ibadat itu dilaksanakan sebagai kecintaan dan kesyukuran seorang hamba kepad tuannya tanpa mengharap atau mempunya tujuan tertentu. Sabda Nabi : من قال لا إله إلا الله مخلصا دخل الجنة


RUJUKAN
1. Prof Dato’ Dr Haron Din ( 1985). Manusia dan Islam Academe Art & Printing Service Sdn Bhd. Kuala . Lumpur.
2. Dato’ Syeikh Ghazali Hj Abd Rahman(1997). Memasuki Gerbang Perkahwinan. K.Lumpur: JAKIM.
3. ________________ (1992). Mutiara Amal. Kuala Lumpur: Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.
4. Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. (1998), Fiqh Al-Manhaj. Terjemahan Ustaz Ridzuan bin Hashim. Pustaka Salam SDN BHD.
5. Mustofa Al-Bugho & Muhyidin Misto. (1998), Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Terjemahan Ustaz Hj Mohd Asri Bin Hj Hashim, Ustaz Syahruzzaman B. Bistamin dan ustaz Khairuddin B. hazali . Pustaka Salam SDN BHD.
6. Al-Quran Al-Karim
7.


[1] Prof Dato’ Dr Haron Din ( 1985). Manusia dan Islam Academe Art & Printing Service Sdn Bhd. Kuala . Lumpur. M.s 113
[2] Dato’ Syeikh Ghazali Hj Abd Rahman(1997). Memasuki Gerbang Perkahwinan. K.Lumpur: JAKIM. m.s 7
[3] Ibid.
[4] ________________ (1992). Mutiara Amal. Kuala Lumpur: Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia. Halaman 7
[5] Ibid
[6] Dato’ Syeikh Ghazali Hj Abd Rahman(1997 ). Op-cit. Halaman 7
[7] Makhluk berakal ; manusia dn jin.
[8] Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. (1998), Fiqh Al-Manhaj. Terjemahan Ustaz Ridzuan bin Hashim. Pustaka Salam SDN BHD. Halaman 28
[9] Ibid.
[10] Hukum syariat yang lima iaitu ; wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
[11] ________________ (1992). Mutiara Amal. Op-cit. Halaman 2

[12] Ibid.
[13] Ibid halaman 3.
[14] Dr Mustofa Al-Bugho & Muhyidin Misto. (1998), Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Terjemahan Ustaz Hj Mohd Asri Bin Hj Hashim, Ustaz Syahruzzaman B. Bistamin dan ustaz Khairuddin B. hazali . Pustaka Salam SDN BHD. Halaman 16.

No comments: