Wednesday, December 12, 2007

resm uthmani

1.0 PENGENALAN

1.1. Ta’arif Al-Quran.

Pengertian Al-Quran dapat dilihat dari dua sudut. Pertama pada bahasa dan kedua pada istilahan.

1.1.1 Al-Quran pada bahasa

Perkataan Al-Quran berasal dari perkataan qiraah[1] atau bacaan. Maksudnya al-Quran itu dibaca. Firman allah Ta’ala dalam surah al-Ala’

Ertinya : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Pengertian ini amat bertepatan sekali dengan pendapat pakar-pakar bahasa. Mereka menggunakan kata terbitan untuk diistilahkan kepada maf’ul.[2]

Pendapat kedua menyatakan Al-Quran bermaksud satu bentuk himpunan, kerana kalimah al-Quran berasal dari kata dasar yang bermakna himpunan[3].

Pendapat lain menegaskan bahawa perkataan Al-Quran itu sendiri merujuk kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan bukan dari mana-mana kata dasar. Sebutannya tetap “Quran” ( Hamzah wasal)[4] satu pendapat lagi mengatakan bahawa perkataan Al-Quran itu berasal dari kata qarana yang bermaksud bandingan. Ini beerti bahasa Al-Quran itu jika dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain dikelaskan akan menampakkan keistimewaannya[5].


1.1.2 Istilah ulama’ Mufassirin

Para ulama’ Mufassirin sepakat mendefinisikan Al-Quran sebagai “ Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w serta membacanya adalah satu ibadah.[6] Ini beerti kalam Allah SWT yang diturunkan kepada nabi-nabi lain bukan al-Quran begitu juga dengan hadis Qudsi dan seumpamanya. Ada pendapat lain yang membawa maksud sama seperti pendapat tersebut iaitu “ Al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepad Nabi Muhammad s.a.w. berperantaraan Jibril a.s dalam bahasa Arab, sampai kepada kita secara mutawatir dan membacanya adalah satu ibadah.[7]

1.2. Ta’arif Asbabun Nuzul.

Perkataan asbabun nuzul menurut ahli bahasa terdiri daripada gabungan dua perkataan iaitu perkataan Asbabun dan An-Nuzul. Asbabun adalah kata jamak bagi sababun yang bererti sebab dan kata nuzul masdar dari kata kerja fail nazala bermaksud telah turun[8]. Jesteru penurunan ayat-ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai sebab-sebab atau peristiwa tertentu yang adakalanya menghuraikan masalah ataupun mendhobitkan hukum tertentu.[9]

Menurut ahli Mufassirin, Asbabun Nuzul ialah segala keadaan dan peristiwa yang menyebabkan turunnya ayat-ayat Al-Quran.[10] Dan Abu Ishak Asyasyathiby[11] menyebutnya sebagai Asbabut tanzil. Kita tidak akan tahu mengapa terdapat beberapa perkara yang sama tetapi hukum yang berbeza tanpa mengetahui Asbabun Nuzul. Sehubungan dengan itu, Para ulamak mufassirin telah membentuk beberapa kaedah bagi memudahkan mereka dan pengkaji Al-Quran menguraikan beberapa masalah yang timbul dalam Asbabun Nuzul.



2.0 KAEDAH MENGETAHUI ASBABUL NUZUL

Pada asasnya tiada cara untuk menentukan atau menetapkan sesuatu mekanisma sebagai alat penentu untuk mengetahui kesahan atau kesahihan sesuatu cerita atau riwayat yang berkaitan penurunan ayat-ayat tertentu. Sungguhpun begitu. Sebuah hadisyang diriwayatkan oleh Al-Wahidi dengan sanadnya sendiri, telah meriwayatkan bahawa Ibn Abbas, katanya Rasullullah SAW bersabda :
“Berhati-hatilah ( dalam meriwayatkan sesebuah hadis, kecuali yang benar-benar kalian benar-benar mengetahui sebab(nya). Barangsiapa yang mendustakan atas diriku secara sengaja, maka hendaklah bersiap-siap menempah neraka. Dan barangsiapa berdusta atas Al-Quran tanpa ilmu, maka (juga) hendaklah bersiap-siap menempah neraka”.

Jika kita merujuk kepada hadis di atas, jelaslah bahawa sesuatu cerita atau riwayat yang berkaitan dengan sesuatu sababul nuzul tidak boleh diterima kecuali ianya benar-benar dipastikan kesahihan periwayatannya. Ini kerana sudah pasti para sahabat tidak akan mengatakan sesuatu sebab atau peristiwa yang berkaitan penurunan ayat-ayat tertentu jika hanya berdasarkan pendapat atau rukyah mereka semata-mata.

Perawi itu hendaklah mendengar terus dari orang-orang yang mengetahui turunnya ayat Al-Quran atau dari orang-orang yang memahami Asbabun Nuzul dan mereka mestilah menelitinya dengan cermat, baik dari kalangan sahabat, tabi’in atau lainnya. Juga melalui catatan para ulamak yang thi’qah (dipercayai).[12]

Begitu juga, jika terdapat periwayatan asbabul nuzul oleh sahabat maka ianya boleh diterima kerana penyampaian seorang sahabat mengenai sesuatu perkara yang bukan berkaitan ijtihad maka hukumnya ‘marfu’. Sebaliknya jika periwayatan itu melalui hadis mursal[13] hukumnya, tidak boleh diterima kecuali hadis tersebut mencapai tahap hadis sohih dan diperkukuhkan lagi dengan hadis mursal lain serta dengan syarat bahawa terdapat dalam sanad hadis mursal tersebut ulamak tafsir yang meriwayatkan hadis itu dari sahabat. Antaranya seperti Mujahid, ikrimah dan Saied Ibn Jabir.[14]

Terdapat beberapa panduan yang digariskan oleh para ulamak mufassirin dalam memahami asbabun nuzul antaranya ;
a) Perawi itu sendiri menyatakan lafaz sebab penurunan ayat dengan jelas dan tegas. iaitu riwayat yang sohih. Contohnya seperti kata perawi “ sebab turun ayat ini begini…………..”

b) Jika terdapat huruf ; fa ( ف ) ; f’a ‘ta’qibyah” pada kata “Nazala” seperti kata-kata perawi” .[15] contoh:
حدث كذا او سئل عليه السلام عن كذا فنزلت آية كذا
Ertinya : “Terjadi peristiwa ini atau nabi ditanya tentang peristiwa ini maka turunlah ayat ini”

Maka yang demikian itu, merupakan penyataan atau nas yang jelas menunjukkan sebab turunnya ayat tersebut.
c) Tetapi jika seorang perawi mengatakan:
نزلت هذه الاية فى كذا
Ertinya: “ ayat ini turun tentang itu”

Maka ibarat ini mengandungi dua kemungkinan, yakni : mungkin penyataan itu menunjukkan sebab turunnya ayat tersebut atau mungkin juga ia mengandungi sesuatu hukum di dalam ayat itu. Mengenai masalah ini, Al-Zarkasyi dalam kitabnya Al-Burhan berkata :
قد عرف من عادة الصحابة والتابعين أن أحدهم إذا قال : نزلت هذه الاية فى كذا فإنه يريدبذالك أن هذه الاية تتصمن هذا الحكم لا أن هذا كان السبب فى نزولها
Ertinya : telah diketahui kebiasaan para Sahabat dan Tabi’in, bahawa apabila mereka mengatakan : “ Turun ayat ini tentang itu”, maka maksud mereka ialah menerangkan bahawa ayat itu mengandungi hukum itu, bukan dimaksudkan untuk menerangkan sebab turunnya ayat sahaja”. [16]

d) Ulama’ tafsir menggunakan uslub yang berbeza-beza untuk menunjukkan sebab nuzul. Antaranya ;

i. Uslub yang secara terang menggunakan kata sebab. Misalnya dikatakan: “sebab nuzul ayat ini adalah begini-begini” ungkapan ini jelas menunjukan sebab turunnya ayat.

ii. Berkemungkinan ayat itu turun untuk menjawab persoalan yang ditanya kepada rasullullah SAW dan memerlukan penegasan dalam jawapan yang diberi.[17] Contohnya persoalan mengenai roh, dalam sebuah riwayat daripada Ibn Mas’ud menceritakan bahawa sekumpulan orang Yahudi telah bertanyakan perihal tentang Roh orang mati. Nabi SAW terdiam seketika, kemudian turunlah ayat 85, surah Al-Isra’:

Ertinya :” Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
iii. Kadang-kala tidak menggunakan uslub yang jelas mengenai sebab turunnya ayat, atau penggunaan huruf fa’ mahupun jawapan kepada persoalan yang diajukan kepada Nabi SAW tetapi berkemungkinan ada perkaitan dengan masalah tersebut atau pengkhabaran berkemungkinan juga ayat itu mengandungi hukum[18] fiqh.

Berdasarkan kepada pendapat-pendapat ulamak mufassirin di atas jelas kepada kita bahawa jika perawi itu secara terang menyebut sebab-sebab ayat itu diturunkan maka tidak diragui lagi bahawa itulah asbabun nuzul bagi ayat tersebut. Tetapi jika tidak terdapat ungkapan sebab atau perkataan (نزل) ia bolehlah difahami dari konteks ayat itu diturunkan. Adakah ianya berkaitan peristiwa yang berlaku, atau menzahirkan hukum fiqh atau hanya pengkabaran tentang sesuatu perkara sahaja. Perlu ditegaskan di sini bahawa hanya mereka yang mahir tentang penurunan ayat atau menukilkan secara langsung dari orang yang berada di sisi nabi SAW pada ketika ayat itu diturunkan, maka itu adalah benar-benar riwayat sababun nuzul yang sohih. Ini kerana ianya mempunyai beberapa faedah atau kepentingannya.


3.0 KEPENTINGAN ASBAB AN-NUZUL

Kepentingan mempelajari dan mengetahui Al-Asbabun Nuzul amat besar pengaruhnya dalam pentafsiran ayat-ayat suci Al-Quranul karim. Hal ini kerana dengan ilmu tersebut seseorang ahli tafsir dapat memahami kehendak ayat-ayat Al-Quran dengan tepat. seterusnya dapat mengelak berlakunya kekeliruan dalam menghuraikan pengertian ayat secara terperinci. Kita akan membincang kepentingan Asbab An- nuzul dari dua sudut. Iaitu pertama; Pendapat Ulamak dan Kedua secara umum.

Mari kita lihat beberapa pandangan para ulama mufassirin mengenai kepentingan ilmu Asbabun


3.1. Pandapat ulamak

i. Al Wahidi [19]menpunyai pendapatnya sendiri ;
لا يمكن معرفة تفسير الآية دون الوقوف على قصتها ويان نزولها
Ertinya: “Tidak mungkin akan diketahui tafsiran ayat, tanpa mengetahui kisahnya dan keterangan turunnya” [20]

ii. Ibnu Taimiyah[21] menegaskan bahawa mengetahui sebab turunnya ayat akan dapat menolong untuk memahami ayat ( suci Al-Quran ) kerana sesungguhnya mengerti sebabnya dapat menghasilkan pengetahuan tentang akibatnya”[22]

iii. Ibnu Daq’iq[23] berpandangan bahawa ;” Mengetahui sebab turun ayat adalah jalan yang kuat dalam memahami maksud-maksud ayat.”[24]

Merujuk kepada pandangan dan pendapat para ulamak mufassirin di atas, jelaslah kepada kita kepentingan dan perlunya ilmu Asbabun Nuzul dan Ulamak Muhaaqqiqin [25] dengan tegas menghukum haram kepada penafsiran ayat-ayat Al-Quran tanpa mengetahui Asbabun Nuzulnya. Ini kerana kesilapan mengurai dan membahas isi kandungan ayat-ayat Al-Quran akan menjerumuskan seseorang muslim itu kepada kesalahan besar dalam memahami Al-Quran.


3.2. Kepentingan Umum

Antara kepentingan umum mempelajari dan mengetahui asbabun nuzul ;

3.2.1 Mengetahui kebijaksaan Allah SWT secara terperinci mengenai syariat yang diturunkannya

Ini jelas apabila kita merujuk kepada sebab-sebab sesuatu ayat itu diturunkan, kepada siapa ayat itu ditujukan (khitab), apakah kesan penurunan ayat itu dalam konteks Muslim dan Non-Muslim serta beberapa nilai-nilai positif yang boleh kita hayati.

Ayat-ayat Makkiyyah misalnya lebih menjurus kepada dakwah secara umum. Sebaliknya ayat-ayat Madani lebih menfokuskan kepada pembangunan Masyarakat Islam dan hubungan antara Orang Islam dengan masyarakat bukan Islam. Antara kesan-kesan positifnya ialah orang Islam akan lebih teguh keimanannya kepada keesaan Allah SWT, dan bersedia melaksanakan segala suruhanNya, meninggalkan segala tegahanNya demi kecintaan kepada Ilahi. Manakala golongan Non-Muslim, jika mereka mengkaji Isi kandungan Ayat-ayat suci Al-Quran (lebih-lebih lagi mengkaji mengenai bab mengetahui Asbabun Nuzul) besar kemungkinan akan mendapat hidayah Allah dan mereka menjadi penganut Islam yang patuh dan cintakan Allah SWT.


3.2.2 Nilai kesenian dan kesusasteraan yang tiada tolok banding.

Susunan ayat-ayat suci Al-Quran amat indah dan mengkagumkan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengkajinya, terutamanya dari sudut bahasa dan kesusasteraan Arab. Melalui Ilmu Ma’ani dan Ilmu Bayan misalnya, kita dapat mengetahui susunan yang dapat melemahkan atau mengalahkan kepada sesiapa yang ingin mencabarnya. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah :[26]


Ertinya : Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Bahasa Arab itu sendiri merupakan satu bahasa yang unik dan kompleks. Ini kerana satu perkataan daripada Bahasa Arab akan membawa maksud yang banyak. Hal demikian berlaku kerana mengikut keadaan tempat, suasana dan sesiapa sahaja yang membicarakannya. Contohnya perkataan Suruhan fiil Amr, iaitu kata yang digunakan untuk memerintah. Selain itu perkataan tersebut juga mempunyai erti lain seperti untuk membolehkan, mengherdik, melemahkan, berdoa dan sebagainya.[27]

Justeru itu, dalam mentafsir atau menghurai isi kandungan Al-Quran, perlulah mengetahui keadaan semasa ayat-ayat itu diturunkan dan penggunaan ungkapan-ungkapan yang membawa maksud yang muqaiyyat atau muyassir, umumiyyah atau khususiyyah yang akhirnya menghilangkan keraguan dalam mentafsir isi kandungan Al-Quran.


3.2.3. Menghilangkan keraguan dan menserasikan pendapat dalam memahami Al-Quran.

Melalui Asbabun Nuzul seseorang itu dapat mengetahui perkara yang sebenar sebagaimana yang terkandung dalam ayat-ayat yang dikajinya. Penafsiran ayat tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, ini kerana jika kita merujuk kepada kaedah pengumpulan ayat-ayat Asbabun Nuzul nescaya kita akan melihat kesepaduan para ulamak tafsir dalam membicarakan mengenai ilmu Asbabun Nuzul. Ertinya sudah ada persepakatan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam menetapkan sebab-sebab penurunan ayat Al-Quran. Akhirnya segala bentuk keraguan dapat dibuang. Melalui cara ini akan mewujudkan kemurnian dalam pentafsiran ayat-ayat suci Al-Quran.


3.2.4 Menetap dan menentukan hukum.

Asbabul nuzul sebagai asas atau sumber utama dalam menzahirkan sesuatu hukum. Ini jelas jika dilihat kepada sebuah qaedah Fiqh[28] ( Qawaidul Fiqhiyyah) iaitu menentukan hukum (takhshish) dengan sebab menurut pendapat sebahagian ulamak fiqh “ suatu ibarat itu dinyatakan berdasarkan khususnya sebab”. Perkara tersebut menjadi sandaran yang kuat untuk digunapakai dalam istimbat Al-hukmi. Jelaslah kepada kita bahawa Asbabun Nuzul merupakan pemangkin kepada perkembangan fiqh kontemporeri.

Jika seseorang itu tersalah memahami isi kandungan ayat Al-Quran denan mengambil kaedah yang salah ketika menghukum seseorang yang dianggap bersalah, tetapi akhirnya Qhadi atau orang tersebut telah secara salah menghukum orang yang tidak bersalah.Dalam hal ini, ia akan mengugat kriabliti sistem perundangan Islam. Jelasnya penguraian atau pentafsiran ayat yang betul dapat menyelamatkan perkara yang sepatutnya diselamatkan dan membuat keputusan secara adil dan betul.






















4. PENUTUP


Setelah meneliti dan membincangkan Asbabun Nuzul secara panjang lebar beberapa rumusan dapat diambil sebagai panduan kita secara umum dan kolektif. As-Sababun Nuzul merupakan ilmu asas yang penting kepada pentafsir-pentafsir atau pengkaji-pengkaji Al-Quran. Ilmu ini adalah salah satu faktor penentu kepada perkembangan hukum perundagan Islam dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran.

Mereka yang menceburi bidang ilmu-ilmu Islam seperti bidang Syariah, usuluddin dan sistem pendidikan Islam perlulah menguasai secara asas ilmu Asbabun Nuzul.Hal ini kerana bidang yang mereka ceburi itu memerlukan mereka memahami Al-Quran. Antara ulamak-ulamak yang memberi perhatian serius terhadap ilmu Sababun Nuzul seperti : Ali bin Al Madini, Abu Al-Hasan Ali bin Ahmad An-Nahwi[29], Burhan Ad-Din bin Omar Al-Ja’bari , Jalal Al-Din Abdul Raman Al Sayuti[30] dan lain-lain lagi.[31]

Secara keseluruhannya, dapatlah saya tegaskan di sini bahawa Ilmu Sababun Nuzul merupakan cabang ilmu islam yang amat penting. Kita tidak hanya mengenali sejarah Al-Quran, bahkan mengenali ayat-ayat Al-Quran yang telah diturunkan, ajaran-ajaran islam serta Syariat Islam. Ilmu-ilmu tersebut tidak mungkin dapat disingkap atau digarap dengan sempurna tanpa melalui pemahaman daripada ayat-ayat suci Al-Quran yang betul dan selari dengan sebab-sebab ayat itu diturunkan.
[1] Iaitu masdar atau kata terbitan qiraa’h dalam kamus arab “Mu’jam Al-Araby” , m.s 572
[2]. Kamal Mahyudin Harun , (1996) Ulum Al-Quran ______Pustaka Aman Pres. M.s 7
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] ”. Qathan Manna , (1992 )“Mubahisul Fi Ulum Al-Quran” Muassasun Ae-Risalah . Bairut. M.s 20
[6] Ibid. m.s 21
[7]. Kamal Mahyudin Harun, ( 1996) Op-cit . M.s 9
[8] Mu’jam Al-Araby” , m.s 596
[9] Abdul Badi’ Sokraa. (1976) At-Tajwid Wa Ulum Al-Quran . Maktabah Wahbah, Qahirah.. M.s 10
[10] Kamal Mahyudin harun, ( 1996) Op-cit m.s 60
[11] Ibid
[12] Web Site : www. Pts . com.my “Ulum Al-Quran”
[13] Iaitu tergugur seorang perawi di kalangan sahabat dalam sanad itu dan terhenti pada Tabi’in.
[14] Ahmad Kamaruddin Ibrahim ( t.t) Modul OUM Ulum Al-Quran______________ m.s 58
[15]. www. Pts.com Op-cit.
[16] Kamal Mahyudin Harun, ( 1996) Op-cit . m.s 64
[17] Ahmad Kamaruddin Ibrahim Op-cit ______________ m.s 59
[18] Ibid.
[19] Al Wahidi Wafat pada 427 Hijrah
[20] Kamal Mahyudin Harun, ( 1996) Op-cit m.s 58
[21] Ibnu Taimiyah wafat pada 756 Hijrah
[22] Kamal Mahyudin Harun, ( 1996) Op-cit m.s 58
[23] Ibnu Daq’iq Wafat pada 702 Hijrah
[24] Kamal Mahyudin Harun, ( 1996) Op-cit m.s 58
[25] Ibid.
[26] Al-Quran,Surah Al-Baqarah ayat 289
[27] Mahyudin Harun (1996) , Op-cit m.s 59
[28] Dr Wahbah Az-Zuhaili. Usul Fiqh Wa Adillatu. Dar Al-Fir bairut. M.s 56
[29] Lebih dikenali sebagai Alwahidi dengan kitabnya Asbabun Nuzul.
[30] Pengarang kitab AsbabunNuzul yang terkenal. Kitabnya berjudul Lubab Al-Manqul Fi Asbabun Nuzul”
[31] Op-cit Op-cit Mahyudin Harun m.s 60

No comments: